Ke arah Pelaksanaan OHSAS 18001
Proses Persediaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Di Tapak Projek
Peringatan : - Bahan ini tidak mewakili pendapat mana-mana pihak lain kecuali pengarangnya. Ianya tidak harus dilihat sebagai dokumen perundangan, perniagaan, atau nasihat pengurusan risiko kepada mana-mana pihak. Pengarang tidak boleh diletakkan sebarang tanggungjawab keatas ketepatan maklumat yang dipaparkan mahupun ianya akan menjamin ketinggian kualiti dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau 'imuniti' terhadap tindakan undang-undang. Pembaca/Pengamal OSH perlu menghubungi pengarang terlebih dahulu jika terdapat sebarang pertanyaan.
Bagi siri-siri OHSAS 18000, tidak ada perkataan ISO dimasukkan bersama
(c) 2000 - Hakcipta Terpelihara - Nik Zafri Abdul Majid- Sebarang penyalinan/penggunaan kembali harta intelek di Internet/Laman Web Penulis Nik Zafri Online 2000 dalam apa juga bentuk sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah menyalahi undang-undang.
Sepanjang tempoh pembinaan projek, aktiviti kerja dan tapak adalah berubah-ubah. Banyak suasana berbahaya timbul pada setiap fasa baru. Ini akan memberikan cabaran kepada pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pengurusan projek perlu menyediakan kaedah perancangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang sesuai terutamanya sebelum setiap projek pembinaan atau sesuatu fasa baru. Perancangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan memastikan pengurangan risiko dengan mengambilkira kos, penjadualan, kualiti dan lain-lain yang berkaitan. Sekiranya ini tidak menjadi sebahagian daripada elemen pengurusan projek, pastinya faktor keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan terancam semasa pembinaan ataupun memasuki fasa baru.
Ramalan Pengiraan
Pastikan anda mempunyai maklumat dokumen tender/kontrak yang mencukupi semasa proses pemilihan kontraktor/sub-kontraktor. Disinilah bermulanya perancangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Sebutharga yang dimajukan mestilah melibatkan sejumlah peruntukan untuk keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pengurus/Eksekutif/Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang kompetan/trampil perlu menyediakan belanjawan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Dengan pengalaman dalam menguruskan projek yang lalu, pastinya belanjawan ini dapat dikemukakan dengan tepat. Adalah penting untuk mengetahui seramai manakan sumber manusia - kakitangan/pekerja yang diperlukan supaya masa dan kos yang bersabit dengan latihan dan pembangunan keatas perkara-perkara berhubung dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dapat diambilkira. Rekabentuk juga perlu disemak kembali bagi menentukan kos tambahan keatas keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mungkin dicetuskan oleh faktor-faktor rekabentuk. Jika terdapat jadual projek, kos-kos tambahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga dapat ditentukan. Kos-kos yang dijangka adalah peralatan perlindungan diri, peralatan keselamatan dan lain-lain data, dokumen dan rekod yang diperlukan dalam belanjawan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Penyelenggaraan belanjawan pengurusan projek adalah suatu kerja yang amat mencabar. Sekiranya belanjawan keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak dimasukkan bersama, pastinya kerumitan akan dialami semasa pembinaan projek.
Mesyuarat Perancangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Mesyuarat perlu bermula serta merta terutamanya dikalangan ahli-ahli jawatankuasa induk yang terpilih selepas dianugerahkan kontrak dan sebelum projek bermula. Mesyuarat ini perlu digunakan untuk mendiskusikan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara keseluruhan, menentukan tugas dan tanggungjawab. Perancangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu didokumenkan terutamanya dalam dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan, strategi pengurusan dan peraturan/tatacara. Pengurusan dokumen, data dan rekod yang sempurna diperlukan semasa dan selepas mesyuarat ini dijalankan. Antara agenda yang biasa dibincangkan ialah strategi pengurusan, kawalan suasana berbahaya, keperluan subkontraktor, analisa kerja yang melibatkan suasana berbahaya dan pembelian.
1. Strategi
Pengalaman saya dalam sektor pembinaan projek mega negara dan mendapat persijilan ISO 9000 telah menunjukkan bahawa terdapat satu latihan yang sering dilupakan oleh pengurusan projek. Selain, latihan luaran dan dalaman atau latihan semasa kerja, saya telah mendefinisikan satu lagi bentuk latihan dalam definisi prosedur "Latihan" iaitu "Latihan yang diwajibkan oleh Undang-Undang"; samada disukai atau tidak disukai oleh majikan. Apabila saya maksudkan latihan yang diwajibkan undang-undang, saya banyak merujuk kepada latihan teknikal dan latihan bersabit keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diperlukan oleh Akta. Perkara ini juga perlu dipertimbangkan oleh pengurusan projek semasa penyediaan belanjawan.
Latihan dan pembangunan adalah aspek yang terpenting dalam perancangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ianya bermula dengan orientasi pekerja baru yang melibatkan penyebaran maklumat am kepada mereka umpamanya corak dan aliran komunikasi semasa kecemasan dan induksi harian. Selain itu, latihan boleh diserapkan kedalam mesyuarat mingguan "toolbox". Sesetengah pekerja mungkin memerlukan latihan kemahiran khusus seperti memasang scaffolding dan tatacara pembinaan dalam konteks struktur dan sivil. Kursus ini banyak disediakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan, Universiti Teknologi Malaysia, MARA dan lain-lain.
Selain itu, program memeriksa sendiri bagi mengenalpasti/memperbetulkan/mencegah suasana tidak selamat dan tindakan yang boleh diambil, juga perlu diwujudkan. Penguatkuasaan keatas sebarang ketidakpatuhan mestilah diketahui oleh semua peringkat organisasi menerusi dasar. Kaunseling dan tunjukajar boleh digunakan untuk kesalahan yang kecil.
Dari kajian, pengalaman dan pemerhatian saya, banyak bahagian/unit sumber manusia dan keselamatan/kesihatan pekerjaan, kualiti mahupun alam sekitar tidak menyedari perkara-perkara berikut :-
a. Tidak perlu memo/surat peringatan/amaran kedua atau ketiga bagi kesalahan yang serius walaupun kali pertama dilakukan dan latihan telah diberikan secukupnya.
Contoh 1 :
Jika seorang pemandu kren tidak "melipatkan" boom semasa beralih kearah lain, dan tiba-tiba boom berkenaan telah terkena tiang elektrik berdekatan dan akibatnya tiang berkenaan rosak. Pemandu kren yang terlatih sepatutnya mengetahui bahawa boom mestilah dilipat semasa beralih ketapak kerja yang lain.
Apakah logik jika pemandu berkenaan hanya diberikan memo/surat peringatan/amaran pertama atau kedua atas dasar 'implied' atau 'expressed' Akta Pekerjaan 1955 atau Akta Perhubungan Industri. Disinilah apa yang dimaksudkan sebagai Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan "prevails above other laws"
Jika pemandu diberikan surat peringatan/amaran/memo, bagaimanakah jika beliau membuat kesalahan yang kali kedua dan kali ini menyebabkan "kematian" atau "kecederaan" atau "kerosakan loji dan peralatan"? Jika diteruskan sehingga ke peringkat "domestic inquiry" sekalipun, kes akan menjadi lebih rumit yang menyebabkan implikasi perundangan industri pula.
Pengalaman saya menunjukkan pemandu berkenaan perlu ditamatkan perkhidmatan serta-merta kerana sebelum ini, malah dalam kontrak perkhidmatan dan undang-undang syarikat telah jelas, beliau dilantik kerana didapati memenuhi syarat-syarat seperti terlatih/mahir dan berpengalaman dan/atau akan dilatih oleh pengurusan.
Contoh 2 :
Jika seorang pekerja melemparkan batu dari tingkat atas bangunan dan tiba-tiba ianya telah mencederakan pekerja lalu-lalang dibawahnya (ada kes yang menyebabkan terbunuh) Rasa saya, pembaca dan pengamal OSH pun mengetahui "laws of physics" mengenai objek yang jatuh.
Ini sebenarnya bukan kes disiplin...ianya merupakan kes jenayah kelas kedua/ketiga. Jadi apa yang perlu pengurusan lakukan ialah melaporkan kepada pihak berkuasa dan tindakan akan diambil dari segi jenayah "tidak sengaja/tidak berniat" dan bukannya menjadi kes industri yang berpanjangan.
Apa yang saya cuba jelaskan ialah, tidak ada istilah "senda-gurau" semasa bekerja ditempat-tempat kritikal.
Semua kesalahan yang serius perlu mengakibatkan penamatan perkhidmatan. Penguatkuasaan dan disiplin adalah perlu bagi memastikan individu/pekerja/kakitangan yang sengaja melanggar undang-undang keselamatan dan prosedur dikenakan tindakan yang sewajarnya. Saya memuji sesetengah pengurusan yang amat "tegas" dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Saya juga pernah memberikan panduan kepada pengurusan sumber manusia untuk meninggikan kualiti aspek penilaian semasa temuduga calon. Aspek ini akan menentukan calon yang benar-benar berdisiplin dan menjaga peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan - "jangan sampai terhantuk baru nak tergadah" dan "mencegah adalah lebih baik dari berubat".
Penyiasatan kemalangan adalah perlu bagi mengenalpasti punca kemalangan supaya tindakan pembetulan dan pencegahan dapat diambil bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. Sekali lagi saya terpanggil untuk menegur pengamal OSH supaya menyenaraikan "trend" kemalangan, suasana merbahaya dan kecederaan untuk memudahkan klasifikasi "major" atau "minor non-conformance". Ianya juga memudahkan perhatian yang serius dan tindakan susulan diambil terhadap trend "major" dan penurunan kes "minor" yang berpotensi menjadi kes "major" jika dibiarkan.
Laporan yang cepat bagi setiap insiden/kemalangan adalah perlu bagi membantu kebekerkesanan penyiasatan. Pusat perubatan ditapak projek perlu disediakan supaya mangsa mendapat rawatan segera atau rawatan awal sebelum dihantar/dirujuk ke hospital jika perlu.
Program rehabilitasi juga perlu kepada mangsa yang mungkin bukan sahaja kehilangan "anggota/pancaindera" tetapi juga "semangat. Semasa saya berkhidmat dengan sebuah firma OSH ternama Australia, terapi ini harus melibatkan meletakkan mangsa berdekatan dengan tempat kemalangannya supaya sebarang "phobia" dapat diminimakan. Selain itu, mangsa juga harus diberikan kerja yang mudah dan mampu dilakukan olehnya. Disini, kita dapat lihat elemen "kebajikan pekerja" telah terjaga dengan sendirinya.
Mereka yang dikenalpasti mestilah diberikan latihan yang secukupnya. Papan-papan pengumuman perlu diadakan di hampir kesemua lokasi strategik dalam tapak pembinaan. Ianya perlu memaparkan poster keselamatan, no. telefon semasa kecemasan, dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan, arahan memakai peralatan perlindungan diri, rekod keselamatan "manhours"/dan/atau kemalangan sifar, trend suasana berbahaya, insiden/kemalangan dan sebagainya.
Program insentif dan motivasi penyelia/pekerja seperti anugerah "pekerja bintang", t-shirt, upah, sijil dan lain-lain juga boleh diwujudkan bagi menggalakkan penjagaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Insentif ini akan ditentukan berdasarkan prestasi individu dan kumpulan atau manhours.
Seperti yang dinyatakan diatas, jawatankuasa dalaman induk keselamatan dan kesihatan pekerjaan wajib diwujudkan. Ada juga yang mencadangkan jawatankuasa adhoc atau fungsi silang diwujudkan. Walau apa pun caranya, tanggungjawab ahli jawatankuasa adalah menjurus kearah meninggikan penyelesaian isu dan cadangan meningkatkan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Elemen-elemen lain ialah pemeriksaan berkala, semakan penyiasatan kemalangan/insiden dan analisa data.
2. Kawalan Suasana Berbahaya
Kawalan suasana berbahaya adalah bergantung diatas skop projek dan jenis aktiviti pembinaan yang dijalankan. Antara yang melibatkan kawalan suasana berbahaya ialah :-
• Letupan
• Pemampatan Udara
• Kerja-Kerja Konkrit
• Ruangan Terhad
• Kren
• Elektrik & Mekanikal
• Pelan Kecemasan dan Bencana Alam
• Excavations/Trenching/Shoring
• Perlindungan daripada jatuh
• Pencegahan/Perlindungan Kebakaran
• Pertolongan Cemas
• Komunikasi
• Sisa Lebihan Bahaya/Toksik
• Jentera Berat
• Kebersihan
• Tangga
• Lampu
• Lock Out/Tag Out
• Penstoran dan Pengendalian Bahan
• Kebisingan
• Peralatan Perlindungan Diri
• Alat Pernafasan
• Keperluan Sanitari
• Scaffolding
• Penggunaan dan Penyelenggaraan Peralatan
• Kawalan Trafik
• Papan tanda Amaran, Isyarat dan Barricade
• Kimpalan dan Pemotongan
Senarai ini tidaklah lengkap, tetapi ianya boleh digunakan sebagai panduan am bagi membantu pengamal OSH menentukan mana-mana keperluan tambahan yang relevan dengan projek pembinaan.
3. SubKontraktor
Projek pembinaan selalunya memerlukan pekerja daripada kontraktor yang berlainan pada masa yang sama. Aktiviti pekerja dari sebuah firma kontraktor kadangkala berpotensi membahayakan pekerja-pekerja kontraktor lain yang berdekatan. Kebanyakan OSHA dan syarat kontrak didunia telah menentukan kontraktor terutama akan memikul tanggungjawab dan tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul berpunca daripada aktiviti subkontraktor.
Perjanjian/kontrak dengan subkontraktor perlu melibatkan klausa penjagaan peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan oleh subkontraktor termasuk apa-apa yang melibatkan OSHA dan apa-apa kod amalan/piawai yang berkaitan. Kesemua program keselamatan dan kesihatan pekerjaan subkontraktor perlu dimajukan dan ianya mestilah konsisten dengan keperluan kontraktor terutama dan klien. Pastikan penelitian dan semakan yang rapi keatas program yang disediakan oleh subkontraktor sebelum memulakan kerja. Penilaian prestasi subkontraktor juga akan ditentukan dari segi keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ini dapat diluahkan semasa mesyuarat dengan wakil-wakil subkontraktor samada mingguan atau bulanan. Klien juga diperlukan hadir bagi menguatkan kedudukan kontraktor dan jaminan lisan/tulisan dari subkontraktor.
4. Analisa Kerja yang melibatkan Suasana Berbahaya
Suatu lagi amalan yang baik ialah mengenalpasti terlebih dahulu apa-apa peralatan keselamatan atau kaedah mengendalikan suasana berbahaya bagi mempastikan keberkesanan kerja dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pertimbangan teliti perlu diberikan keatas suasana berbahaya yang berkaitan dengan egronomik seperti pergerakan berulang, getaran, suhu yang terlalu tinggi atau terlalu rendah dan pengubahsuaian/penyesuaian peralatan. Dengan merancang terlebih dahulu secara proaktif, penangguhan kerja atau pemberhentian mengejut dapat diminimakan. Analisa Kerja yang melibatkan Suasana Berbahaya (Job hazard analysis) adalah proses mengenalpasti suasana berbahaya yang berkaitan dengan kerja atau fasa sesuatu pekerja. Pembangunan analisa ini akan membantu menyelesai atau meminimakan suasana berbahaya yang berkaitan dengan aktiviti kerja-kerja tertentu. Pilihan keatas aktiviti kerja-kerja tertentu yang diketahui kemerbahayannya perlu dilakukan.
Cara penyediaan analisa ini biasanya melibatkan :-
1. Pemilihan kerja untuk analisa.
2. Memecahkan tugas menjadi komponen individu atau aktiviti.
3. Mengenalpasti suasana berbahaya.
4. Membangunkan prosedur keselamatan.
5. Mengaplikasikannya terhadap kerja berkenaan.
Analisa ini boleh digunakan bagi menerapkan nilai-nilai murni dan sikap mengamalkan kerja yang selamat. Ianya juga boleh menjadi panduan latihan bagi pekerja baru dan mengenalpasti punca kemalangan sekiranya ianya berlaku. Setiap analisa perlu disemak dalam tempoh-tempoh tertentu bagi meningkatkannya secara berterusan.
5. Pembelian
Pengurusan Projek perlu merancang pembelian peralatan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pembekal perlu diperiksa bagi memastikan bekalan secukupnya dan harga yang berpatutan (tanpa membelakangkan kualiti). Saya teringat konsep "Dacing Risiko dan Kos" yang terbukti dapat membantu pengurusan projek dalam aspek pembelian atau perbelanjaan. Pastikan pembelian dalam kuantiti yang tinggi mendapat diskaun yang baik. Pengurusan projek mungkin perlu membuat pembelian pelbagai bagi mempastikan peralatan perlindungan diri adalah sesuai dan selesa digunakan mengikut jenis kerja yang dilakukan. Mungkin juga pembekal dapat mengubah rekabentuk mengikut fesyen semasa (tetapi tidak membelakangkan elemen keselamatan) untuk menarik perhatian pembeli. Kesemua faktor keselamatan perlu dikenalpasti dan didokumenkan keatas mana-mana peralatan yang melibatkan penggunaan kuasa. Jika perlu disewa, pastikan penyewa selaku pembekal menentukur segala peralatan keselamatan dan kesihatan pekerjaannya.
Nota Pengarang
Sekiranya terdapat sebarang piawai/kod amalan yang khusus atau umum keatas faktor keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pastikan ianya sesuai dengan jenis skop industri khususnya jenis kerja yang dijalankan. Walaupun tidak jelas dalam OSHA, namun piawai ini mampu menjadi pelaksana kepada OSHA (dimana OSHA merupakan payungnya). Untuk mengamalkannya, sebarang klausa; selagi praktikal; perlu didokumenkan dalam manual dan prosedur keselamatan kerja.
Jika tidak ada sebarang rujukan keatas sesuatu kerja dan memerlukan khidmat pakar atau berkonsepkan "best practice", maka sebarang dokumen yang digunakan (teknologi prototaip) perlu disahkan oleh mereka yang kompetan atau daripada pihak jabatan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan/atau Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama CIDB, Institut Jurutera Malaysia, NIOSH, badan-badan persijilan tempatan-antarabangsa/jabatan standard tempatan-antarabangsa dan lain-lain. Biasanya amalan baru (prototaip) ini akan menjadi "aras" kepada pihak penguatkuasaan atau mungkin menjadi piawai yang baru.
Walaupun demikian, ada juga kes ketidakpatuhan terhadap piawaian akan menyebabkan ketidakpatuhan kepada OSHA. Dan ada juga kes amalan piawaian (samada baru atau lama) tidak membebaskan pengurusan daripada sebarang penguatkuasaan. Malah ada juga piawaian yang didokumenkan dalam manual atau prosedur dijadikan bahan kes Mahkamah. Paling malang ialah amalan piawaian baru/teknologi prototaip tidak diberikan jaminan insuran pembinaan.
Kesimpulan
Sekiranya pengurusan projek melibatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam proses perancangan, hasil yang positif biasanya menyusul. Pengurangan perulangan dan tahap kemerbahayaan dalam kemalangan/insiden boleh meninggikan produktiviti, mengurangkan kos insuran dan meningkatkan sudut dayasaing serta imej korporat sebuah firma pembinaan.
Dalam suasana K-Ekonomi, pengurusan projek juga perlu mempelajari cara-cara penyelidikan aktuarial bagi mengenalpasti kos tidak nyata atau konsep "tip of an iceberg". Ini juga berkaitan dengan apa yang dikenali sebagai "kos kualiti" atau "kos yang tidak dijangka" Bagi pengurusan projek yang mempunyai hasrat melabur ke atas teknologi maklumat, pertimbangan perlu diberikan kepada pembangunan perisian komputer sistem maklumat keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OHSIS) yang melibatkan elemen-elemen e-audit, e-manhours calculation, e-kos perubatan/insuran/pampasan yang berkaitan dengan jenis insiden/kemalangan dll. Tidak ketinggalan yang berkonsepkan internet & intranet.
Dan sudah tentu tender-tender projek pembinaan akan mudah dimenangi jika pengurusan projek prihatin terhadap faktor keselamatan dan kesihatan projek......Renungkanlah..
Islam Yang Sebenar........
15 years ago
No comments:
Post a Comment